Sunday, July 6, 2008

Kurung moden eksotik kekal budaya tradisi

BERITA MINGGU
Ahad, 06 Julai 2008
2 Rejab 1429

SEJAK Berita Minggu memperkenalkan kolum kenali gaya beberapa pereka fesyen turut menghantar gambar-gambar koleksi rekaan mereka. Antara yang menarik ialah koleksi kurung moden eksotik sentuhan pereka berbakat besar, Zery Zamry.

Koleksi ini dipersembahkan melalui olahan gaya baju tradisional Melayu iaitu baju kurung yang terkenal dengan identiti pesak dan kekek. Baju kurung, persalinan yang paling cocok bagi menonjolkan kebudayaan Malaysia. Cirinya jelas berimejkan budaya dan kehidupan bermasyarakat. Rekaannya yang longgar bukan saja selesa malah sesuai dikenakan semua peringkat usia.

Kata Zery Zamry, bukan niat merosak gaya tapi olahan persalinan tradisi diberi nafas baru akhirnya dizahirkan dalam persalinan serba anggun. Koleksi gaun petang dan gaun koktel yang dinamakan Kontemporari Kurung Eksotika adalah interpretasi gaya mewah yang menggabung jalinkan pertembungan cita rasa Timur dan Barat tapi istimewanya ia gambaran jati diri masyarakat Malaysia melalui penggunaan pesak dan kekek.

Inovasi gaya baru baju kurung oleh Zery Zamry menggambarkan sifat feminin, glamor dan elegan khusus untuk wanita berusia antara 23 hingga 40 tahun.

Garapan tona romantis ungu, kilatan perak dan warna cerah turquoise antara warna yang dipilih sesuai aliran fesyen masa kini. Dihasilkan menggunakan fabrik sutera mewah dari jenis sutera taffeta, sutera sifon, sutera Thai dan sutera satin mewakili budaya Timur yang cukup terkenal dengan sifat sopan dan merendah diri. Sentuhan gaya bertambah anggun dengan material PVC menjadikan ia kelihatan lebih menarik.

Koleksi Kontemporari Kurung Eksotika tambah mewah dengan tatahan batu kristal, permata Swarovzki, dihiasi renda yang sememangnya menjadi 'trade mark' koleksi Zery Zamry. Menambah anggun dalam persalinan, Zery Zamry menggunakan aksesori tradisi Melayu yang biasanya digunakan kaum lelaki iaitu tengkolok sebagai pemanis gaya sekali gus simbolik kekuatan Melayu.


INFO: Kurung eksotik kontemporari

Zery Zamry sememangnya menggemari rekaan berkonepkan kontemporari dengan menggabungkan unsur tradisi di dalam setiap rekaannya.

Himpunan gaun petang dan gaun koktel daripada koleksi Kurung Eksotik Kontemporari menggunakan elemen 'kekek' dan 'pesak' yang ada pada busana tradisi Melayu seperti baju kurung dan baju Melayu.

Cirinya juga terserlah melalui potongan leher busana yang dihasilkan seiras potongan leher baju kurung tapi bagi menampakkan keindahan dan kehebatan rekaan, Zery Zamry menggunakan tatahan manik, kristal Swarovski juga batu permata sebagai elemen tambahan.


1 comment:

MORIBAYU said...

Wah
conrats ....zery